BETUL KE KERJA AGENT HARTANAH (REN) MUDAH & SENANG BUAT DUIT?

Kerjaya sebagai Agen Hartanah Berdaftar (REN) kerap dilihat sebagai satu bidang yang menjanjikan pendapatan lumayan dan mempunyai had tidak terhingga untuk berjaya. Namun, sebalik tanggapan itu, realiti sebenarnya jauh lebih mencabar dan memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit untuk berjaya dalam industri ini.

Rutin Harian REN; Viewing & Inspection Rumah Client

Permulaan sebagai REN memerlukan modal kewangan. Sebelum memulakan langkah, seseorang perlu membayar lesen rasmi REN iaitu sebanyak RM600 bagi permohonan baharu dan RM250 bagi pembaharuan tahunan. Di samping itu, REN baharu turut perlu menyertai mana-mana syarikat agensi hartanah yang sah dengan menanggung yuran penyertaan yang boleh mencecah ratusan ringgit.

Ini belum lagi mengambil kira perbelanjaan sampingan lain yang perlu ditanggung seperti kos pengangkutan, peralatan kerja, aktiviti pemasaran dan latihan kemahiran. Memandangkan tugas REN memerlukan pergerakan yang kerap ke sana sini untuk viewing & inspection, mereka terpaksa menampung sendiri kos minyak kenderaan, tol dan parkir menggunakan kenderaan sendiri.

Untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam industri yang sentiasa berubah, REN juga perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan baharu melalui kelas, seminar dan latihan yang kebanyakannya memerlukan pembayaran yuran yang mencecah beribu-ribu ringgit. Latihan dalaman mungkin disediakan oleh syarikat agensi, namun untuk mendapatkan pendedahan lebih meluas, REN perlu mencari mentor atau “sifu” hartanah yang berpengalaman.

Agensi hartanah akan memberi latihan secukupnya kepada agent baru supaya dapat membantu melonjakkan skil jualan & komunikasi dengan client

REN juga perlu menyediakan bajet pemasaran yang besar untuk bergerak aktif dalam industri hartanah yang kompetitif ini. Modal pemasaran amat diperlukan untuk menyiarkan iklan berbayar di pelbagai platform dalam talian seperti Facebook, Google, TikTok, Mudah dan Property Guru. Namun, perbelanjaan pemasaran ini tidak semestinya memberikan hasil atau pulangan seperti yang diharapkan.


Bagi REN baharu yang baru memulakan langkah, mereka mungkin memilih untuk menggunakan kaedah pemasaran percuma terlebih dahulu seperti mempromosikan di group komuniti dan marketplace Facebook serta WhatsApp. Walau bagaimanapun, pendekatan ini sememangnya mengambil masa yang lebih lama untuk mendapat hasil. Justeru, cara yang lebih pantas untuk mendapatkan prospek berkualiti tinggi ialah melalui pengiklanan berbayar, tetapi ia juga mempunyai risiko duit modal pemasaran tersebut “terbakar” tanpa sebarang hasil jualan diperoleh.

REN pada masa kini perlu menambahkan ilmu & skil supaya tidak ketinggalan dengan perkembangan teknologi terkini.

Selain menyediakan modal kewangan, profesion REN juga menuntut modal yang bukan sahaja berbentuk wang ringgit, tetapi juga kesabaran yang tinggi. Dalam menguruskan pelanggan, REN kerap terpaksa menunggu berjam-jam untuk sesi viewing hartanah di samping mendengar luahan kerenah dan permintaan pelanggan yang terkadang tidak munasabah. Mereka turut perlu menunggu keputusan akhir pelanggan selepas pelanggan berbincang dengan pasangan masing-masing.

Cabaran menjadi semakin getir apabila pelanggan membuat keputusan mengejut seperti membatalkan urusniaga tanpa penjelasan, atau apa yang lebih mengecewakan, apabila urusniaga hampir selesai tetapi pinjaman bank pelanggan ditolak atau pemilik hartanah membatalkan keputusan untuk menjual. Situasi sedemikian menuntut REN untuk mempunyai ketahanan mental yang tinggi untuk terus berjuang di sebalik kekecewaan yang sering melanda.

Tidak kurang cabaran yang dihadapi REN dalam berhadapan dengan pemilik hartanah atau pelanggan yang degil dan sukar untuk menerima nasihat profesional. Terdapat juga situasi di mana REN diminta untuk menguruskan kontraktor bagi kerja-kerja pembaikan hartanah. Tambahan pula, kerenah dan permintaan yang tidak masuk akal daripada pemilik dan pembeli turut menjadi cabaran mental dan fizikal kepada REN.

Menjadi kelebihan untuk REN jika mempunyai kenalan dari golongan kontraktor jika client ada masalah rumah

REN juga terdedah kepada risiko persaingan tidak sihat sesama mereka sendiri. Kes kena ‘sailang’ dengan ejen lain adalah perkara biasa. Ada juga sesetengah kes di mana REN kena ‘sailang’ dengan owner bila dia deal tepi dengan pembeli. Keadaan ini mengancam tahap kesabaran dan integriti REN yang bekerja dengan cara yang adil dan beretika.

Dalam usaha untuk mendapatkan pelanggan, REN terpaksa berbulan-bulan menyusuri pelbagai lokasi untuk menemui prospek client baharu. Namun, apa yang mengecewakan, kebanyakan prospek yang ditemui hanya sekadar ingin meninjau hartanah semata-mata tanpa niat untuk berurusniaga. Malah, ada kalanya prospek merupakan REN lain yang menyamar untuk ‘mencedok’ maklumat dan kemahiran jualan daripada REN tersebut.

Saat yang paling melegakan apabila client sign SPA (Perjanjian Beli Rumah). Di sini sudah pun terjamin komisyen REN. Orang kata seronok lah dapat 3% komisyen dari harga rumah. Bayangkan rumah RM100K sudah meraih komisyen sebanyak RM3K. Tetapi hakikatnya kiraanya bukanlah seperti itu. 3% akan pergi ke agensi terlebih dahulu selepas itu baru diagihkan kepada REN mengikut peringkat (tier level) masing-masing. Untuk REN baru kebiasaannya akan bermula dengan kadar 60-65%. REN perlu menunggu lagi beberapa proses selesai; kumpul dokumen, bayar stamp duty dan lain-lain. Kalau semua urusan dokumentasi lengkap, baru senang nak tuntut komisyen.

Sesi menandatangani booking form setelah client berpuas hati dengan keadaan rumah yang hendak dibeli

Begitulah serba sedikit cabaran jadi REN yang boleh diceritakan. Yang anda tengok, REN yang bawa kereta mewah, melancong sana sini, itu semua adalah fighter yang sudah melalui semua rencah ini. Bertahun-tahun diperlukan untuk capai peringkat itu. Usaha tidak akan pernah mengkhianati hasil.

Setiap tahun, agensi hartanah akan mengadakan Majlis Gala Dinner untuk menghargai usaha keras REN yang berjaya.

Diharapkan orang ramai akan lebih faham dengan tugas REN. REN bukan nak untung atas angin tapi memang tugas REN adalah untuk memudahkan urusan antara tuan rumah & pembeli/penyewa. Bayaran ejen itu sebenarnya untuk cover juga kos-kos yang dinyatakan di atas.

Sekarang anda telah memahami realiti di sebalik kerjaya REN serta rahsia untuk berjaya dalam kerjaya ini.

Jika anda berminat ke arah karier REN, sertailah team kami yang akan membimbing anda sehingga berjaya! Hubungi kami di Whatsapp!


Join The Discussion

Compare listings

Compare